MANJUNG: Seramai 61 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam sebuah bot tanpa nombor pendaftaran di 2.5 batu nautika dari Pulau Talang, di sini, awal pagi tadi.

Menurut Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris, mereka ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) markas Kampung Acheh dengan bantuan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, jam 2.15 pagi.

Azizi berkata, pasukan berkenaan bertindak atas maklumat yang diberikan oleh orang awam.

"Hasil pemeriksaan yang dilakukan, Polis Marin berjaya menahan seramai 54 orang lelaki dan tujuh orang wanita dipercayai PATI yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dari negara jiran.

"Pihak polis turut menahan seorang lelaki berumur 39 tahun selaku tekong bot dan dua lelaki berumur 45 dan 40 tahun selaku pembantu tekong bot berkenaan, yang juga berasal dari negara jiran.

"Kesemua tahanan telah dibawa ke pengkalan Markas Operasi PPM Kampung Acheh bagi soal siasat dan tindakan lanjut oleh agensi berkaitan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kesemua PATI berkenaan telah dikenakan bayaran berjumlah RM800 hingga RM4,000 kepada ejen di negara jiran bagi menyusup masuk ke negara ini.

Jelasnya lagi tekong bot yang ditahan juga mengaku berlepas dari negara jiran menuju ke Pulau Angsa dan Sekinchan, Selangor.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 4 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012," katanya.