SEREMBAN:Seramai 61 orang pekerja sebuah kilang di kawasan Perindustrian Tuanku Jafaar Senawang, disahkan positif COVID-19 selepas saringan dilakukan terhadap mereka pada 3 Februari lalu susulan seorang pekerja didapati bergejala dan kontak rapat.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, daripada jumlah itu seramai 41 orang adalah pekerja tempatan manakala 20 orang adalah pekerja warga asing.

"Sehingga semalam (4 Februari) seramai 61 orang dikesan positif dari 416 individu yang telah dibuat persampelan. Kluster ini bermula dengan saringan ke atas seorang pekerja kilang bergejala dan saringan kontak rapat di kalangan rakan sekerja," katanya selepas melawat kilang tersebut pada Jumaat.
KLIK DI SINI UNTUK INFO VAKSIN COVID19


Tambahnya, kilang tersebut diarahkan tutup selama lima hari sehingga 9 Februari bagi tujuan pembersihan dan sanitasi. Punca penularan jangkitan masih lagi dalam siasatan.

Kata Dr Adham, kilang dan asrama penginapan tersebut telah diarahkan tutup bermula 4 hingga 9 Febuari bagi tujuan pembersihan dan sanitasi.

"Langkah penutupan kilang dan tempat penginapan bertujuan untuk menjalankan saringan kesihatan ke atas pekerja-pekerja, mengasing (isolasi) pekerja yang positif dan kuarantin kontak rapat kepada kes positif," katanya.

Dalam pada itu, Dr Adham memberitahu bagi gelombang ketiga ini, sebanyak 446 kluster tempat kerja direkodkan, dan daripada jumlah itu 157 adalah kluster kilang bagi sektor pembuatan.

Katanya, kluster bagi kategori pembuatan ini merupakan antara yang tertinggi daripada enam kategori lain.

"Setakat 4 Febuari, kita telah membuat saringan terhadap 147,916 pekerja kilang bagi sektor pembuatan, daripada jumlah itu seramai 38,849 adalah positif.

"Setiap hari pasti ada kes kluster kilang, dan setakat Khamis kita mencatatkan empat kluster tempat kerja baharu iaitu Kluster Jalan Industri Rawang, Kluster Jalan Jasmin Bukit Beruntong, Kluster Parit Penyengat Muar, dan Kluster Permata 1 di Nilai 3," katanya.

Katanya, kerajaan tidak akan berkompromi dengan pematuhan SOP dan akan bertindak lebih tegas dalam usaha untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 ini termasuk di tempat kerja.