Sejumlah 612 Pusat Maahad Tahfiz berdaftar di seluruh negara bakal menerima Kamera Litar Tertutup (CCTV) menerusi Yayasan Taqwa dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata ia akan dilakukan secara berperingkat seperti yang dipersetujui dalam mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Khas Sekolah Tahfiz, hari ini.

Jelasnya, ini merupakan langkah yang baik bagi mengelak sebarang tragedi atau kemalangan di Pusat Tahfiz daripada berulang pada masa akan datang.

"Kami telah menerima cadangan itu daripada persatuan-persatuan Tahfiz pada mesyuarat hari ini.

"Kami akan meneliti pelaksanaannya, kerana pemasangan CCTV melibatkan kos yang tinggi," kata Ahmaz Zahid selepas menyerahkan 1,836 bantuan alat keselamatan kebakaran kepada Institusi Tahfiz Swasta Berdaftar di Bangunan Perdana Putra di sini.

Selain itu, Ahmad Zahid juga menegaskan bahawa semua Pusat Tahfiz dalam negara kini diwajibkan untuk mengadakan latihan kebakaran dengan seliaan Jabatan Bomba dan Penyelamat, sekurang-kurangnya sekali setahun.

Beliau turut meminta semua pihak untuk menyokong usaha kerajaan ini untuk memartabatkan lagi institusi tahfiz dalam negara.

Sementara itu, Ahmad Zahid turut meminta agar pusat tahfiz yang belum berdaftar untuk melakukan pendaftaran dengan segera.

"Walaupun kerajaan tahu syarat yang dikenakan untuk pendaftaran dipenuhi. Tetapi tujuannya bukan untuk menyusahkan.

"Sebaliknya piawaian yang ditetapkan kepada pusat tahfiz ini adalah tujuan untuk membantu, demi keselamatan dan masa depan anak-anak," katanya.