Seramai 62 jemaah tabligh yang terkandas di India sejak Mac lalu akibat pandemik COVID-19 selamat tiba di tanah air awal pagi Sabtu.

Jemaah itu antara 96 rakyat Malaysia yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan menaiki sebuah pesawat sewa khas yang diselaraskan oleh Kementerian Luar.



Kementerian Luar dalam kenyataan memaklumkan 62 jemaah tabligh antara 96 rakyat Malaysia yang terkandas di India selamat tiba di KLIA pagi Sabtu.

Menurut Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, kesemua jemaah tabligh itu ditahan oleh pihak berkuasa India atas tuduhan penyalahgunaan visa lawatan sosial bagi menjalankan aktiviti keagamaan.

"Walau bagaimanapun, sebahagian besar telah menjalani proses perundangan dan dibebaskan daripada tuduhan tersebut.

"Saya merakamkan penghargaan kepada Kerajaan India kerana telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada Kerajaan Malaysia dalam usaha membantu rakyat kita yang terkandas di sana," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Luar.

Rakyat Malaysia yang terkandas di India sejak Mac selamat tiba di KLIA pagi Sabtu.

Dalam perkembangan sama, Hishammuddin berterima kasih kepada seluruh ahli keluarga jemaah tabligh berkenaan kerana sabar menunggu isu tersebut diselesaikan.

"Saya faham, ramai yang ingin tahu perkembangan dan kesudahan isu ini sejak ia tular namun masyarakat perlu faham bahawa jemaah tabligh berkenaan telah melanggar undang-undang Kerajaan India.

"Kerajaan Malaysia berdepan beberapa kekangan dalam usaha menyelesaikan proses diplomasi dan rundingan namun kita bersyukur kerana isu ini akhirnya dapat diselesaikan," katanya.

Rakyat Malaysia dan beberapa jemaah tabligh yang terkandas di India sejak Mac lalu selamat tiba di KLIA pagi Sabtu.

Tambah beliau, Wisma Putra dengan kerjasama Perwakilan Malaysia di India akan terus menyelaraskan usaha bagi membawa pulang baki Jemaah Tabligh yang masih berada di India secara berperingkat.

Kesemua 96 rakyat Malaysia termasuk jemaah tabligh perlu menjalani proses kuarantin wajib selama 14 hari di dua pusat kuarantin iaitu Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP) serta Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT).

Rakyat Malaysia termasuk jemaah tabligh yang selamat tiba di tanah air dikuarantin 14 hari di ILKAP dan AKEPT.