Salji lebat dan suhu ekstrem tidak menghalang sekumpulan 62 rakyat Malaysia mengibarkan Jalur Gemilang gergasi di Annapurna Base Camp (ABC) yang terletak di Banjaran Himalaya pada ketinggian 4,130 meter.

Ekspedisi yang turut melibatkan peserta daripada 31 pengamal media, 21 pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), lima wakil Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan lima wakil persatuan belia daripada seluruh negara selamat sampai di kem pangkalan Annapurna pada 11.30 pagi waktu tempatan, Ahad.

Misi Cabaran Annapurna Base Camp 2017 itu juga melakar sejarah sebagai kumpulan terbesar melibatkan peserta dalam kalangan rakyat Malaysia.

Lebih bermakna, nyanyian Negaraku dan Jalur Gemilang mengiringi kibaran bendera seluas 6 x 12 meter dan seberat 11 kilogram itu.

Pendakian yang bermula sejak Khamis lalu melibatkan jarak sejarah 41 km dari permulaan trek di Siwai sebelum berakhir di ABC.

Menurut Ketua Ekspedisi, Fazli Ahmad kejayaan kumpulan ekspedisi berkenaan adalah hasil kerjasama media dan agensi kerajaan selain bertujuan membentuk semangat partiotik dalam kalangan peserta.

"Sebelum ini, kita (pengamal media) selalu membuat liputan tentang kejayaan orang lain, kini kita sendiri terlibat dan mengharumkan nama negara."

"Ini membuktikan kita bukan hanya melaporkan berita tetapi juga mencipta sejarah dalam usaha membentuk sembagat patriotik dalam kalangan rakyat Malaysia," katanya ketika ditemui Astro AWANI.

Kumpulan ekspedisi yang turut melibatkan wartawan Astro AWANI, Tan Su Lin dijangka tiba ke tanah air pada 5 Mei ini.