7,206 ahli UMNO keluar parti, sertai Warisan

Astro Awani
Disember 8, 2018 22:00 MYT
Beliau berkata partinya menerima sesiapa sahaja yang mahu menyertai Warisan kerana bertujuan untuk menyatukan rakyat.
Parti Warisan Sabah (Warisan) menerima kemasukan 7,206 bekas ahli UMNO menyertai 121 cawangan di bahagian Kalabakan, di sini, pada Sabtu
Penyerahan borang keahlian itu disampaikan oleh wakil cawangan kepada Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan disaksikan oleh Setiausaha Agung parti, Lorreto S Padua.
Mohd Shafie, yang juga Ketua Menteri, dalam ucapannya berkata, penting untuk ahli parti membesarkan parti dengan menambah keanggotaan parti.
"Menjadi tanggungjawab anggota parti untuk menguatkan parti dengan membesarkan parti.
"Namun dalam membesarkan parti banyak nilai-nilai positif perlu diamalkan ahli parti, bukan hanya ahli bahkan pimpinan itu perlu beramal kepada rakyat," katanya seperti dipetik Bernama.
Dalam pada itu, katanya, sokongan rakyat membolehkan pimpinan kerajaan baharu hari ini memimpin dan menukar pemerintah yang lama.
"Setiap perkara yang dilakukan ahli parti perlu berpaksikan kepada rakyat, kehendak rakyat walaupun bukan semua yang dapat dipenuhi sekarang.
"Ada rakyat yang mahu kerja, ada rakyat yang mahu rumah, tetapi sekurangnya kita perlu besarkan parti ini untuk kita mengetahui citarasa serta rintihan rakyat selain membangunkan Sabah dan mempertahankan hak rakyat seperti yang disebut dalam janji Warisan pada pilihan raya umum yang lalu," katanya.
Selain itu, beliau berkata partinya menerima sesiapa sahaja yang mahu menyertai Warisan kerana bertujuan untuk menyatukan rakyat.
#ahli #Ketua Menteri Sabah #Mohd Shafie Apdal #Presiden Warisan #rakyat #Tawau #UMNO #Warisan