Tujuh lemas manakala 34 yang lain terselamat selepas bot yang dinaiki mereka karam 80 meter dari persisir Pantai Batu Layar dekat Kota Tinggi, Johor pada malam Sabtu.

Kesemua mangsa adalah dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Indonesia.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar, Azlan Mohd Sobri berkata yang lemas terdiri daripada tiga perempuan dan seorang lelaki.

Manakala 25 lelaki dan lapan perempuan yang lain telah ditemui selamat.

Jelasnya, pihak bomba tiba di lokasi kejadian 30 minit selepas menerima panggilan pada kira-kira jam 11 malam.

Operasi pencarian dijalankan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), Tentera Darat Malaysia (TDM) dan pihak hospital.

Kesemua mangsa yang terselamat kini berada di Jabatan Imigresen Johor Bahru untuk tindakan selanjutnya kerana bot yang karam itu dipercayai cuba masuk ke Malaysia.