Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM) pada Isnin memberi jaminan 70,000 wanita masih berpeluang mendapatkan subsidi vaksin Human Papilloma Virus (HPV) sepanjang tahun depan.

Timbalan Menterinya Datuk Azizah Mohd Dun berkata selain itu, 50,000 orang juga berpeluang mendapatkan subsidi mammogram tahun depan walaupun peruntukan terhadap kedua-dua subsidi itu tidak dimasukkan dalam Bajet 2016 yang dibentangkan baru-baru ini.

"Subsidi mammogram diadakan sejak 2007 dan sehingga November tahun ini 271,760 wanita telah melalui saringan dan kami tidak ada masalah untuk peruntukkan 50,000 orang lagi tahun depan...Insya-Allah," katanya ketika menggulung Rang Undang-undang Perbekalan 2016 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat di sini, pada Isnin.

Beliau berkata KPWKM melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) diberi peruntukan secara one-off untuk menjalankan saringan dan mempunyai sasaran jumlah tertentu wanita yang mendapat manfaat tersebut.

"Alhamdulillah...kami telah melebihi sasaran namun masih terdapat lebihan kewangan di LPPKN untuk kami laksanakan pemberian vaksin HPV dan subsidi mamogram tahun depan," katanya.

Sementara itu Azizah yang juga Anggota Parlimen Beaufort berkata penyertaan wanita dalam sektor pekerjaan dan pasaran buruh meningkat dari semasa ke semasa dalam mencapai hasrat menjadikan sebanyak 59 peratus wanita berkerjaya menjelang tahun 2020.

"Pada tahun 2007 jumlah wanita yang bekerja adalah 46.4 peratus; tahun 2010 (46.8 peratus); tahun 2011 (47.9 peratus); tahun 2012 (49.5 peratus); tahun 2014 53.6 peratus dan bagi Januari hingga Jun tahun ini jumlah wanita yang bekerja 53.8 peratus," katanya.

Beliau berkata KPWKM menjalankan tiga langkah dalam memastikan peningkatan jumlah golongan wanita dalam sektor pekerjaan melalui program Career Comeback yang memberi insentif kepada majikan; kedua ialah insentif taska di tempat kerja serta amalan waktu kerja anjal dan terakhir ialah program Azam Niaga.

Dalam pada itu, Azizah berkata KPWKM akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan bagi memberi lebih banyak kesedaran berkaitan kesihatan reproduktif kanak-kanak dalam usaha untuk tidak menggalakkan perkahwinan kanak-kanak berlaku dalam negara.

"Kementerian tidak galakkan perkahwinan kanak-kanak di bawah usia 18 tahun kerana ia sebenarnya menghalang perkembangan sebenar kanak-kanak dari segi pendidikan, kesihatan dan sosial mereka," katanya.