Sebanyak 70 peratus kawasan yang mengalami gangguan bekalan air di Kuala Lumpur, Petaling, Klang dan Shah Alam pulih sepenuhnya, setakat 9.30 malam tadi.

Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dalam kenyataan, berkata kerja-kerja pemulihan bekalan air di beberapa kawasan lain yang turut mengalami gangguan juga sedang giat dijalankan secara berperingkat berikutan paip utama di Sungai Buloh pecah pada Khamis.

"Bekalan air bantuan masih dihantar melalui lori tangki air ke kawasan yang memerlukan dan ia akan diteruskan sehingga bekalan air pulih sepenuhnya," kata kenyataan tersebut.

Pengguna juga dinasihatkan supaya menggunakan air secara berhemat semasa pemulihan untuk mempercepatkan paras air kolam takungan mencapai paras optimum.

Bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai status pemulihan, orang ramai boleh merujuk di www.syabas.com.my atau aplikasi telefon pintar ''mySyabas''.

-- BERNAMA