Nasi lemak berlaukkan ayam didakwa punca 71 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek Apong, Sungai Petani, Kedah terpaksa dikejarkan ke hospital kerana keracunan makanan.

Nasi lemak itu dikatakan ditempah daripada pengendali makanan luar untuk program merentas desa yang disertai kira-kira 480 murid Tahun Tiga hingga Tahun Enam sekolah terbabit.

Menurut Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, seramai 71 murid itu mengalami gejala keracunan makanan seperti muntah, cirit-birit dan sakit perut selepas memakan nasi lemak berlaukkan ayam itu.

"Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Muda menerima maklumat kejadian muntah, cirit-birit dan sakit perut dalam kalangan murid sekolah terbabit pada pukul 10 pagi melalui waris murid berkenaan," katanya.

Tambah Norhizan, lawatan pihak pejabat kesihatan daerah itu ke sekolah berkenaan pada pukul 10.30 pagi, seramai 66 murid tidak hadir ke sekolah dan pemeriksaan lanjut mendapati sejumlah 71 murid mengalami gejala sama.

Ujar beliau, dua murid mendapat rawatan di hospiral swasta yang mana seorang daripadanya telah dibenarkan keluar wad manakala seorang lagi masih menerima rawatan.

"Tiga murid lagi mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani selepas mengalami simpton yang sama sebagai pesakit luar manakala pelajar lain selebihnya mendapatkan rawatan sendiri di sekolah dan rumah," katanya.

Norhizan menjelaskan, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar perkara itu.