Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memberi sumbangan sebanyak RM8.65 juta kepada 724 buah masjid dan surau di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sempena Ramadan tahun ini.

Sumbangan itu disalurkan kepada masjid sebanyak RM15,0000, surau Jumaat (RM12,500) dan surau biasa (RM11,000) bagi bantuan pengimarahan, Ihya’ Ramadan dan bantuan keceriaan serta kebersihan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata, beliau berharap dengan bantuan yang disampaikan mampu menjadikan masjid, surau Jumaat dan surau yang terlibat lebih bersedia untuk menghidupkan Ramadan pada kali ini.

“Selain itu, ia mampu membantu mengekalkan lagi tahap keimanan dan ketakwaan setiap umat Islam khususnya pada bulan Ramadan yang penuh barakah ini,” katanya pada Isnin.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Ya Ramadan 2019 peringkat kebangsaan di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.

Mujahid turut memaklumkan kadar zakat fitrah bagi Wilayah Persekutuan pada tahun ini adalah sebanyak RM7 dengan sasaran kutipan sebanyak RM9.8 juta.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menjalinkan kerjasama KPKT dalam usaha membendung pembaziran makanan sepanjang Ramadan.

“KPKT adalah kementerian yang bertanggungjawab untuk bazar-bazar Ramadan dan Pihak Berkuasa Tempatan, maka dengan kerjasama ini ia akan dapat membantu mewujudkan kesedaran dalam kalangan rakyat.

“Ia bagaimanpun tidak akan kena mengena dengan sebarang akta tentang pembaziran,” katanya.

Katanya, Jakim akan turut menjalankan kerjasama dengan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim bagi projek rentas kementerian seiring dengan Kempen Ramadan Tanpa Pembaziran.

Jelasnya, sikap pembaziran oleh rakyat Malaysia berada pada tahap membimbangkan sehingga memberi kesan kepada kewangan negara dengan peruntukan kerajaan untuk pengurusan sisa pepejal pada tahun 2017 melebihi RM2 bilion.