Peserta rombongan yang terdiri dari murid-murid pra-sekolah dari Sekolah Kebangsaan (SK) Mempaga 1 yang berkunjung ke Kuala Lumpur adalah antara 73 kes terkena jangkitan saluran pernafasan dipercayai influenza A (H1N1).

Rombongan terbabit yang turut disertai guru dan ibu bapa telah melawat beberapa lokasi tumpuan pelancong di ibu negara pada 2 November lalu.

Kumpulan 11 murid pra-sekolah yang terlibat itu adalah antara tiga siri jangkitan di beberapa lokasi di Bentong bermula awal bulan ini, seperti yang dinyatakan oleh Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr. Sha'ari Ngadiman.

Bagi seorang peniaga, Ahmad Farizal Abdul Jamal, 38 tahun, memberitahu, anaknya turut terlibat dalam rombongan tersebut namun bebas daripada sebarang jangkitan mengakui lega kerana anaknya tidak terlibat dan berharap semua pihak berkaitan terus mengambil langkah berjaga-jaga dalam menangani jangkitan tersebut.

Dia bagaimanapun tidak menyalahkan pihak sekolah seperti mana cerita tular yang mengaitkan jangkitan tersebut berpunca dari sekolah dan seorang guru di situ.

“Saya rasa H1N1 ini mungkin (berpunca) daripada sesi rombongan. Sesi rombongan pada hujung tahun ni (biasanya) sekolah-sekolah ada buat. Baru-baru ni sekolah ada terlibat rombongan di Kuala Lumpur sana jadi saya tak merasakan ia berpunca dari sekolah atau guru,” ujar Ahmad Farizal.

Menurutnya, cerita tentang jangkitan di sekolah itu diketahuinya beberapa hari lalu selepas tular di laman sosial. Ahmad Farizal mengakui sedikit risau, namun anaknya disahkan tidak terkena jangkitan.

Seorang lagi penduduk, Mat Sabudin Che Long, 61 tahun, mengakui sedikit gusar selepas mengetahui jangkitan itu turut berlaku di kawasan terbabit dan berharap pihak berkaitan dapat menangani jangkitan itu supaya ia tidak merebak.

“Cucu saya demam lalu dibawa ke klinik, dan selepas itu klinik minta rujuk ke Hospital Bentong kerana mengesyaki (dijangkiti) H1N1. Tapi selepas duduk semalaman di hospital, keesokkannya dibenarkan pulang. Saya berasa lega sebab tak ada jangkitan yang serius,” kata Mat Sabudin.

Tambahnya, dia memang berasa lega dan berharap pihak berkaitan dapat turun padang untuk melihat situasi sebenar selain berharap jangkitan itu dapat dibendung supaya situasi tidak bertambah serius.
Sebelum ini tular di laman sosial wabak influenza A (H1N1) mula merebak di daerah ini sehingga menimbulkan keresahan penduduk .