Seramai 76 petugas Jabatan Anestesiologi, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang mengalami keracunan makanan sejak Rabu lalu selepas menikmati makanan yang disediakan oleh katerer swasta dari luar hospital.

Pengarah HTAR, Dr Ding Lay Ming, yang mengesahkan insiden tersebut, berkata siasatan awal mendapati kemungkinan punca keracunan adalah makanan yang disajikan selepas mesyuarat jabatan pada hari berkenaan.

"Beberapa daripada petugas dimasukkan ke wad. Pengurusan hospital bersama-sama dengan pasukan klinikal telah menguruskan keadaan dengan baik bagi memastikan operasi hospital berjalan lancar," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata semua semua pembedahan kecemasan dan perkhidmatan rawatan intensif tidak terjejas berikutan hanya Jabatan Anestesiologi yang terjejas.

"Beberapa pembedahan elektif yang dijadual semalam dan hari ini ditangguhkan," katanya.

Bagaimanapun, Dr Ding berkata dengan bantuan dan kerjasama berpasukan yang hebat daripada semua pihak yang terlibat membolehkan perkhidmatan bilik bedah kini sudah kembali seperti biasa.

Menurutnya, pihak berkuasa yang relevan daripada Kementerian Kesihatan akan melakukan langkah-langkah pemulihan yang wajar sementara menunggu keputusan siasatan penuh.

-- BERNAMA