Penantian 78 masyarakat Orang Asli suku kaum Jakun daripada tiga kampung di Kota Tinggi, Johor sejak tahun 2000 untuk mendapatkan balik wang pampasan tanah mereka berakhir apabila Mahkamah Tinggi hari ini membuat keputusan yang memihak kepada mereka.

Keputusan dibuat di Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini kerana Hakim Datuk Samsudin Hasan yang mengendalikan prosiding kes itu di Mahkamah Tinggi Johor Bahru sebelum ini, kini ditukarkan di sini.

Samsudin dalam penghakimannya menetapkan semua plantif dari Kampung Sayong Pinang, Kampung Semangar dan Kampung Pasir Intan serta Tabung Amanah Linggui Valey Orang Asli (Jakuns) Trust layak menerima semula wang pampasan dengan jumlah keseluruhan RM37 juta.

Jumlah itu termasuk RM5 juta bagi ganti rugi teladan dan RM1 juta bagi kos yang perlu dibayar oleh defendan kepada 78 plaintif serta kepada mahkamah yang dilantik sebagai Penerima dan Pengurus.

Samsudin membuat keputusan itu setelah mendapati defendan S. Kanawagi bekas peguam, anaknya K.Dinesh, dua tok batin iaitu Tok Adong Kuwau dan Daud Kadir yang telah meninggal dunia dan firma guaman Khana & Co telah menyalahgunakan wang pampasan plantif.

Pada 5 Jun 2000, Mahkamah Tinggi Johor Bahru mengarahkan kerajaan negeri Johor membayar RM38,554,111.92 sebagai pampasan kepada Orang Asli untuk tanah mereka yang terlibat bagi pembinaan Empangan Linggiu.

Mahkamah memerintahkan wang itu diserahkan kepada syarikat guaman Khana & Co untuk dibayar kepada Orang Asli selepas ditolak kos termasuk guaman, yuran perundingan dan perbelanjaan untuk tujuan saman ini.

Bagaimanapun, semua plaintif tidak menyedari penghakiman itu sehingga tahun 2004 dan cuba mendapatkan wang pampasan tersebut, namun gagal sebelum melantik peguam pada 2009 untuk memfailkan permohonan bagi memperoleh semula wang berkenaan.

Dalam penghakimannya, Samsudin berkata semua defendan selaku pemegang amanah telah menyalahgunakan dan salah urus wang tersebut.

Menurutnya, mahkamah mendapati defendan juga telah menggunakan sebahagian wang amanah yang layak diterima oleh Orang Asli untuk membeli 27 unit pangsapuri di Kuala Lumpur dengan harga RM20.7 juta di bawah nama Kanawagi.

Selain itu, wang hasil sewa daripada 27 pangsapuri kemudian digunakan untuk membeli 30 pangsapuri di bawah nama Dinesh.

Berikutan itu, mahkamah memerintahkan semua 57 unit pangsapuri tersebut diserahkan kembali kepada Tabung Amanah Linggui Valey Orang Asli (Jakuns) Trust dan jika enggan pendaftar mahkamah boleh menandatangani dokumen berkenaan.

Plaintif diwakili peguam G. Ragumaren, manakala defendan diwakili peguam Shopna Rani.

Sementara itu wakil plaintif,, Saling Lau Bee Chiang berkata penantian mereka untuk mendapatkan keadilan sejak sekian lama membuahkan hasil dan ia sangat mengembirakan.

"Ini adalah pengajaran kepada Orang Asli supaya tidak mudah tertipu dan perlu berhati-hati apabila melantik mana-mana peguam," katanya sambil menambah mereka menaiki bas sewa dari Kota Tinggi dan tiba di Ipoh pukul 7 pagi tadi. -- Bernama