Seramai 8,381 individu yang sebelum ini berada di pusat kuarantin hotel di seluruh negara akan menyambung baki tempoh berkenaan di kediaman masing-masing susulan penutupan pusat berkenaan bermula Rabu.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kesemua mereka bagaimanapun telah menjalani ujian saringan COVID-19 dan disahkan negatif.

Beliau memberitahu, kesemua mereka perlu memuat naik aplikasi MySejahtera untuk proses pemantauan sebelum dibenarkan menjalani proses kuarantin di kediaman masing-masing.

Ismail Sabri dalam pada itu memberi amaran, mereka yang mengingkari proses kuarantin wajib dan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan akan dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 atau dihadapkan ke mahkamah.

Menurutnya, sebanyak 124 rakyat Malaysia yang pulang dari Singapura, Indonesia, China dan Qatar pada Selasa menjalani kuarantin wajib.

"Kita kuarantin mereka walaupun sehari kerana semalam (Selasa) adalah hari terakhir pusat kuarantin hotel-hotel beroperasi dan bermula hari ini (Rabu) semua rakyat Malaysia yang pulang akan menjalani saringan COVID-19 sejurus tiba di pintu masuk negara.

"Mereka yang positif COVID-19 akan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut, manakala yang negatif diminta melakukan kuarantin sendiri di rumah," katanya dalam sidang media harian di Putrajaya pada Rabu.

Dalam pada itu katanya, setakat ini seramai 51,422 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara telah dikuarantin wajib sejak 3 April dan 42,817 daripada mereka telah selesai menjalani tempoh kuarantin itu.

Dalam perkembangan berasingan, Ismail Sabri memberitahu, daripada 170 tapak pembinaan yang diperiksa Lembaga Pembangunan Malaysia (CIDB), 11 didapati tidak patuh SOP dan diberi amaran sementara satu tapak lagi diarah tutup.

Sehingga kini katanya, secara keseluruhan sebanyak 13 tapak yang tidak patuh arahan sudah diarah tutup.