Tiga mayat remaja lelaki yang dilaporkan lemas di Sungai Muar berdekatan bandar Buloh Kasap berjaya ditemui.

Walaubagaimanapun, lima lagi remaja lelaki yang turut dilaporkan lemas masih lagi hilang.

Penolong Pengarah Operasi Kebombaan dan Penyelamat Johor, Rizal Buang mengesahkan setakat jam tujuh, tiga mangsa berjaya ditemui iaitu Mohd Hafizudin Kamal, 16, dijumpai sekitar jam 3.30 petang sementara Mohd Zakri Zaidi, 14, dijumpai 11 minit kemudian dan mangsa ketiga, Mohd Nazrul Zainal dijumpai kira-kira jam 4.24 petang.

Empat lagi remaja yang masih hilang dikenalpasti sebagai Mohd Zati Zaidi, 16, Mohd Syafiq Md Syukur,16, Mohd Hafizul Danial Nor Hasyim, 16, Nazrul Amiruddin Zamri, 14 dan Mohd Izuan Hakimi Amir, 13.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Segamat memaklumkan bahawa mereka akan meneruskan usaha mencari kesemua mangsa hingga jam 12 tengah malam ini dengan bantuan lampu yang akan disediakan oleh pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Mereka merupakan antara 13 remaja yang keluar untuk beriadah di kawasan tersebut sebelum bermandi-manda di lokasi rekreasi popular berhampiran Pasir Rusa.

Selepas bermandi-manda, lapan daripada mereka bersiar-siar di tebing sungai apabila salah seorang daripada mereka tergelincir dan jatuh. Tujuh daripada remaja tersebut kemudiannya mencuba untuk menyelamatkan rakan mereka namun turut tergelincir dan lemas.