Kawasan seluas kira-kira 80 hektar Hutan Simpan Pekan dekat sini dilaporkan terbakar hari ini, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang Nor Hisham Mohammad.

Beliau berkata pihaknya dimaklumkan kejadian itu pada pukul 8.40 pagi oleh kakitangan Jabatan Perhutanan Pahang yang menerima maklumat daripada wakil Global Environment Centre yang merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar.

Bagaimanapun, Nor Hisham berkata pihaknya masih belum dapat menghampiri kawasan kejadian ekoran bentuk muka bumi yang berpaya dan ketiadaan laluan untuk ke situ.

"Lokasi kejadian berhampiran dengan ladang sawit dan Kampung Orang Asli Melogo. Anggota kami mendapati tiada laluan untuk menghampiri kawasan kejadian yang dianggarkan sejauh 2 kilometer dari kampung tersebut.

"Pasukan bomba dengan bantuan anggota Jabatan Perhutanan telah berjalan kaki sejauh 1 kilometer bagi mencari jalan alternatif, namun tidak dapat berbuat demikian kerana keadaan muka bumi yang berpaya," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Nor Hisham menambah untuk hari ini, JPBM Pahang dibantu 23 kakitangan Jabatan Perhutanan dan tiga anggota Jabatan Alam Sekitar.

Katanya anggota bomba kini memantau kebakaran itu yang sedang merebak secara perlahan dari Kampung Melogo sebelum operasi bersambung esok.

"Pihak kami akan mencari jalan untuk ke kawasan itu selain memohon bantuan jentera JCB daripada pihak ladang IOI yang berhampiran kawasan kejadian untuk melimpahi kawasan yang belum terbakar menggunakan air daripada terusan balak yang ada di situ," katanya.

-- BERNAMA