Sebanyak 82 kemalangan maut direkodkan dalam tempoh enam hari Op Selamat 16 sempena perayaan Tahun Baharu Cina sejak 18 hingga 23 Januari lalu.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias, penyumbang tertinggi kepada kematian dalam kemalangan jalan raya adalah penunggang dan pembonceng motosikal iaitu sebanyak 60 kematian.

"Kemalangan maut paling banyak direkodkan di Selangor dan Sarawak iaitu masing-masing 18 dan 12 kes manakala 10 kes kemalangan maut direkodkan di Kedah dan Johor.

"Statistik juga merekodkan 41 kes kecederaan parah manakala 91 kecederaan ringan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Setakat enam hari Op Selamat 16 dijalankan, sebanyak 10,323 kemalangan direkodkan dengan Selangor menyumbang kes kemalangan tertinggi iaitu 3,206 manakala Johor (1,595) dan Kuala Lumpur (1,264).

"Polis turut mengeluarkan 152,226 saman. Daripada jumlah itu, 94,268 saman atau 61.9 % peratus membabitkan enam kesalahan utama.

“Enam kesalahan itu ialah menggunakan telefon bimbit semasa memandu, tidak mematuhi lampu isyarat, memandu melebihi had laju, menggunakan lorong kecemasan, memotong barisan dan garis berkembar,” jelas beliau lagi.

Op Selamat 16 yang dilancarkan sempena perayaan Tahun Baharu Cina akan berlangsung sehingga 2 Februari ini.