JOHOR BAHRU:Sebanyak 852 kluster direkodkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sepanjang gelombang ketiga pandemik COVID-19.

Daripada jumlah itu, 527 iaitu 61.85 peratus adalah kluster di tempat kerja.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata dalam kluster di tempat kerja, seramai 315,100 individu telah disaring, dan 78,906 iaitu 25 peratus didapati positif COVID-19.

Daripada jumlah kes positif di tempat kerja tersebut, 58,318 (73.91 peratus) adalah dalam kalangan bukan warganegara, manakala 20,588 (26.09 peratus) adalah rakyat tempatan.

Katanya kluster tempat kerja bagi kategori pembuatan melaporkan kluster tertinggi iaitu 194 kluster.

Diikuti perkhidmatan (175 kluster), pembinaan (97 kluster), pentadbiran awam (39 kluster), pertanian (14 kluster) dan perlombongan/kuari (8 kluster).

“Dalam rekod 5 hingga 11Feb kita dapati bahawa pelbagai majikan terlibat dalam saringan bersasar dibuat. Di Kulai sahaja, syarikat pakaian, tenaga solar, pembuatan besi, pembungkusan, komponen elektronik, pembuatan plastik dan sarung tangan getah.

“Kita bukan lihat Kulai sahaja. Satu negara ini banyak berlaku jadi sukar bendung. Di kalangan komuniti mereka berbelanja keluar,  tidak ada green bubble yang dicipta. Kalau berterusan kita sukar nak bendung,” katanya selepas membuat tinjauan di tiga lokasi asrama pekerja kilang di Senai, Kulai jJhor.

Jelas Adham lagi, hasil tinjauan mendapati asrama pekerja itu sesak sehingga menempatkan 19 hingga 25 orang dalam satu kawasan sempit.

Katanya, asrama itu menempatkan pekerja warga asing dari tiga kilang berbeza di Jalan Seelong di Senai.

Hasil saringan 568 pekerja kilang terbabit, 327 disahkan positif COVID-19.

Pihaknya telah meminta Jabatan Tenaga Kerja menyiasat sama ada majikan atau agensi pekerjaan yang bertanggungjawab terhadap kesesakan di kawasan asrama pekerja terbabit.