Sekurang-kurangnya sembilan pekerja di sebuah gudang di sini, tercedera dalam kejadian letupan gas pagi tadi.

Dalam kejadian yang berlaku di Jalan Subang, terdapat mangsa yang melecur sehingga 80 peratus daripada anggota badannya.

Ketua cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor, Alimaddia Bukri berkata panggilan kecemasan diterima Balai Bomba Subang Jaya jam 8.04 pagi.

Beliau berkata sepasukan anggota bersama jentera kemudian bergegas ke lokasi dan tiba 15 minit kemudian.

Pasukan bomba mendapati letupan gas itu berlaku di bahagian memasak sup di tingkat satu.

“Setibanya di tempat kejadian, ada sembilan mangsa yang cedera ringan dan tiga mangsa kritikal dan dihantar di Hospital Serdang.

“Punca kebakaran masih lagi dalam siasatan, tetapi kita tidak menolak punca kebakaran mungkin daripada gas tersebut,” katanya.

Proses pemadaman sisa api serta penutupan kesemua injap gas di dalam gudang berkenaan dilakukan serta merta.

Siasatan mendapati enam pekerja warga Myanmar dan seorang dari Nepal terlibat dalam letupan berkenaan.

Lima daripadanya mengalami kecederaan melecur manakala dua lagi cedera akibat serpihan letupan yang mengenai mangsa.

Mangsa yang cedera dikenali sebagai Khin Zaw, 21, yang melecur 80 peratus; Chan Nyein Lwin, 21, yang melecur 70 peratus; Rajindra Rai, 21, yang melecur 40 peratus; Win Moe Kyaw, 24 tahun yang melecur 30 peratus; dan Naing Win, 30 tahun, yang melecur 20 peratus serta patah kaki.

Yay Aye, 25 tahun, pula luka di kepala dan Wai Yam Soe, 28 tahun, patah tangan.

Kesemua mangsa dikejarkan ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut.

Tiga daripada mangsa kini berada dalam zon merah kerana keadaan mereka yang kritikal manakala dua lagi di zon kuning bagi separa kritikal.