Polis Putrajaya berjaya menyelesaikan kes rompakan pertama kedai emas di Presint 15 Putrajaya pada 14 Ogos lepas dengan tertangkapnya sembilan lelaki berusia antara 20 dan 30-an.

Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Rosly Hasan berkata kesemua lelaki berkenaan ditahan dalam beberapa siri tangkapan di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan selepas seminggu rompakan itu berlaku.

Kesemua mereka kini direman di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya.

“Emas yang dicuri dileburkan. Mereka ada kumpulan. Ada sembilan orang yang ditangkap dan yang menyamun ini akan serahkan kepada seorang wakil dan mereka menguruskan yang lain untuk urusan lebur dan jual, hasil jualan barang yang disamun adalah RM25 ribu .

“Pembahagian dibuat antara mereka ini antara RM4 ribu hingga ke RM5 ribu seorang yang mana wang yang disamun ini digunakan untuk membayar hutang along, membayar resit hospital perubatan salah seorang anak suspek dan juga urusan jual beli dan sebagainya,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Turut dirampas ialah sebuah kenderaan Toyota Alphard, sebuah Perodua Viva, sebuah motosikal dan wang tunai RM19,439 dipercayai sebahagian daripada hasil jualan emas yang disamun.

Menurut Rosly lagi, sembilan lelaki yang ditahan itu memainkan peranan yang berbeza dalam kes rompakan berkenaan dengan tiga daripadanya merompak kedai emas bersenjatakan tukul besi serta penyembur lada, seorang lagi menunggu dalam kenderaan Toyota Alphard dan seorang lagi menunggu dalam kereta Perodua Viva.

Jelas beliau, dua lagi lelaki yang ditahan merupakan pembeli emas yang dileburkan, seorang menjalankan peranan melebur emas dan seorang lagi berperanan sebagai pemudahcara urusan jual beli emas yang sudah dilebur.

Kesemua mereka ditahan di bawah seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun menggunakan senjata secara berkumpulan.