Seramai 94 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan dalam Operasi Bersepadu Cegah Jenayah Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang dijalan di sekitar ibu negara.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata operasi yang bermula 4 petang Jumaat sehingga 5.30 pagi Sabtu itu dijalankan 197 anggota dan pegawai Polis Kuala Lumpur disertai enam pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

“Operasi telah dijalankan di sekitar kawasan Setapak, LRT Bandar Tasik Selatan, Stesen Bas Kota Raya, Jalan Chow Kit, Pasar Chow Kit, Jalan Tun Sambanthan, Jalan Sepadu Klang Lama, Sri Petaling, Jalan Alor, Lorong Merbau Off Jalan Kenanga, Jalan Segambut Pusat, Jalan Ipoh, Taman Seri Kuching dan Jalan Tun Razak.

“Sepanjang operasi ini, pemeriksaan telah dijalankan ke atas 271 orang warga asing dan seramai 94 daripada mereka telah ditangkap,” katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.

Tambah Mazlan, antara PATI yang ditahan dari negara Bangladesh (31), Myanmar (28), Vietnam (2), Pakistan (2), India (5), Nepal (4), Indonesia (11), Somalia (3), Sudan (1), Sierra Leone (1), Chad (1), Nigeria (2), Guinea (1) Yemen (1) dan Libya (1).

Tindakan diambil mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002 iaitu masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah dan akta-akta yang berkaitan, ujar Mazlan.

“Tangkapan yang ditahan dalam operasi tersebut dibawa ke Lokap Berpusat Jinjang untuk tindakan lanjut mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Polis Kuala Lumpur memandang serius isu kebanjiran warga asing terutamanya warga Afrika yang menyumbang ke arah kejadian jenayah berlaku di negara ini,” jelas beliau.

Operasi seumpama ini akan diteruskan bagi membanteras permasalahan kebanjiran warga asing sekaligus berusaha menurunkan kadar jenayah yang disebabkan oleh warga asing.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berhampiran.