Tindakan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menjalankan operasi antidadah bukan semata-mata untuk menangkap penagih-penagih tetapi untuk memulihkan mereka kembali menjadi anggota masyarakat yang berguna.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Zulkifli Abdullah hari ini berkata penagih-penagih ini dianggap sebagai pesakit yang perlu diubati dan AADK dapat membantu melalui beberapa program yang boleh dijalankan untuk memulihkan mereka.

"Kita sebenarnya ikhlas hendak membantu memulihkan mereka (penagih-penagih) dalam program pemulihan dan selepas keluar dari program itu, mereka boleh balik bekerja dan sebagainya," katanya dalam satu sidang media di sini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan penagih-penagih yang melarikan diri semasa operasi Ops Helang yang dilaksanakan pasukan AADK yang bermula sejak kelmarin di sini.

"Bagi mereka yang mungkin hari ini masih terlepas dari tangkapan, saya ingin menasihatkan mereka ini untuk menyerah diri secara sukarela (untuk menjalani pemulihan)," katanya.



ZULKIFLI-PENAGIH 2 (AKHIR) LANGKAWI



Dalam operasi bersepadu yang melibatkan 16 agensi kerajaan itu, seramai 199 orang, termasuk seorang remaja berumur 13 tahun, yang disyaki menyalahgunakan dadah telah ditahan setakat ini.

Zulkifli berkata hasil ujian saringan awal ke atas mereka yang ditahan mendapati 167 orang daripada mereka positif mengambil dadah dan akan dihantar untuk pemulihan.

Katanya selain operasi untuk menangkap penagih-penagih ini, AADK juga akan menjalankan beberapa program komuniti dan pendidikan tentang bahaya penyalahgunaan dadah di sini.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri Kuah, Mohd Firdaus Ahmad yang turut menyertai operasi itu berkata ia merupakan satu pengalaman baharu bagi beliau untuk menyaksikan sendiri bagaimana petugas AADK menjalankan tugas mereka.

"(Sebelum ini) saya dengar mereka (petugas AADK) menggunakan cara kasar tetapi ini tidak berlaku (semasa operasi Ops Helang). Mereka ketuk rumah orang dan bagi salam dengan penuh cara kesopanan," katanya selain meminta agensi itu untuk menjalankan aktiviti mereka lebih kerap lagi di pulau ini.

-- BERNAMA