Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menyasarkan 33 daripada keseluruhan 178 kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi penagihan dadah di seluruh negara menjadi kawasan bebas dadah menjelang penghujung tahun ini.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata pada tahun lepas, AADK mengklasifikasikan 87 kawasan sebagai zon merah (kes dadah melebihi 70 peratus), 86 kawasan zon kuning (0.5 hingga 30 peratus) dan lima kawasan zon hijau (kurang daripada 0.5 peratus)

"Sasaran AADK tahun ini ialah 28 kawasan zon merah, 117 zon kuning dan 33 zon hijau," katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Aspirasi Negeri Sembilan Bebas Dadah bersempena Sambutan Bulan Antidadah Kebangsaan 2019, di sini hari ini.

Katanya kebanyakan kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi ialah tanah rancangan Felda, projek perumahan rakyat serta perkampungan nelayan.

Beliau berkata bagi tempoh 2017 hingga tahun lepas, AADK merekodkan penurunan 9.8 peratus penagih kepada 25,221 orang berbanding 27,965 penagih dua tahun sebelumnya.

Zulkifli berkata Kelantan merekodkan jumlah penagih tertinggi pada tahun lepas iaitu 4,309 orang, diikuti Kedah (2,367); Selangor (2,332); Terengganu (2,256); Pahang (2,158); Johor (2,053); Perak (1,995); Pulau Pinang (1,976); Negeri Sembilan (1,462); Sabah (1,142); Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (1,130); Sarawak (696); Melaka (639); Perlis (588); Labuan (82) dan Putrajaya (30).

"Bagaimanapun Negeri Sembilan merekodkan peningkatan kes sebanyak 29.8 peratus kepada 1,462 orang penagih pada tahun lepas berbanding 1,126 orang pada 2017," katanya.

Menurutnya sehingga kini AADK merekodkan kira-kira 60,000 bekas penagih di seluruh negara yang dikenakan tindakan pengawasan bagi tempoh dua hingga tiga tahun.

"Sebelum diletak dalam pengawasan, mereka ini diletakkan di pusat-pusat pemulihan dan yang keduanya ada yang mendapat perintah mahkamah untuk terus di bawah pengawasan tanpa melalui proses pemulihan di pusat dan ketiga, ada yang telah dimasukkan ke dalam penjara dan selepas keluar, mereka diletak bawah pengawasan," katanya.

Terdahulu, Zulkifli menyertai konvoi 70 penunggang motosikal berkuasa tinggi yang menjelajah ke seluruh negara bagi menyampaikan mesej untuk membanteras penyalahgunaan dadah habis-habisan dengan AADK Daerah Port Dickson merupakan destinasi pertama persinggahan bagi zon selatan.

-- BERNAMA