Pengumuman Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Ahad untuk kembali memikul tugas Presiden UMNO mendapat reaksi pelbagai pihak termasuk anak sulungnya, Datuk Nurulhidayah.

Dalam entri di IG stories, Nurul berharap ayahnya belajar daripada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

"Abah perlu buat dan belajar banyak cara dari Tun M. Hanya jauhari mengenal manikam. Suka atau tidak Tun M terlalu genius.

"Datuk Seri Najib terlalu baik dan lembut dan orang pijak dia tanpa belas," katanya.

Malah, Nurul berkata, belajar daripada Dr. Mahathir adalah lebih baik berbanding mendapatkan ilmu yang bertujuan memperoleh kekayaan.

"Abah, belajar dari Tun M! Belajar dari dia yang hati kering. Tak payah belajar cara nak bagi anak-anak kaya. Bukan boleh bawa duit, harta masuk kubur. Demi Islam," tambahnya.

Nurul mahu ayahnya, Zahid jadikan Tun Mahathir sebagai contoh

Pada Ahad, Ahmad Zahid pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri di Bagan Datuk, mengumumkan untuk kembali menggalas jawatan Presiden UMNO dan menamatkan cuti berkuat kuasa serta-merta.