KUCHING:Esok, 31 Disember 2020 merupakan hari penting bagi Bandar Bau apabila secara rasminya menyambut ulang tahun ke-200 sebagai bandar perlombongan emas.

Bukan itu sahaja, sambutan ulang tahun tersebut juga jadi titik tolak kepada pembangunan dan kemajuan bandar Bau sebagai 'Greater Bau'.

Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jenip, sambutan ulang tahun ke-200 itu juga akan dilancarkan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

"Pada 31 Disember, pukul 10 pagi di Tasik Biru, Yang Amat Berhormat (Abang Johari) akan bersama-sama merasmikan ulang tahun Bau 200 tahun. Pada masa yang sama melancarkan apa yang kita namakan bau yang lebih maju," katanya ketika hadir ke Majlis Bau Bicentennial Celebration 2020.

Pada majlis itu juga berlangsung pelancaran dua naskhah buku bahasa Bidayuh 'Pingunai Ikonomik Bisingai De Joman Omba' dan 'Orang Pingoma'.

Tambah Henry, sejak 1820, Bau merupakan wilayah yang menjadikan kekayaan kerana memiliki hasil bumi seperti emas dan antimoni.

"Mengikut pakar sejarah, perlombongan di kawasan Bau dipercayai bermula lebih awal dari tahun 1820 selain berkembang dengan cepat.

"Malah, Bau sejak era sebelum penjajahan James Brooke sudah menjadi penyumbang ekonomi besar kepada Sarawak," katanya.