Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dan anggota kabinetnya berikrar untuk meneruskan khidmat bakti yang dilaksanakan oleh ketua menteri sebelum ini, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem.

"Kami akan terus memenuhi semua janji yang dibuat Allahyarham Adenan apabila Barisan Nasional (BN) menang besar dalam pilihan raya negeri kira-kira lapan bulan lepas.

"Kami akan bekerja sebagai sebuah pasukan dan melakukan yang terbaik untuk memenuhi apa yang telah dijanjikan," katanya dalam persidangan media sulung, berikutan pelantikan beliau sebagai ketua menteri Sarawak yang baharu pada Jumaat lepas.

Terdahulu, Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud dan Abang Johari menyaksikan majlis angkat sumpah anggota kabinet negeri di Kompleks Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Mengenai rundingan penurunan kuasa dengan kerajaan persekutuan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Abang Johari berkata beliau juga akan meneruskan perkara itu.

"Saya berasa amat bertuah kerana saya berada dalam jawatankuasa utama proses rundingan itu. Oleh itu, saya akan meneruskan perkara yang telah dirundingkan berkaitan pelbagai perkara dalam lingkungan konteks Perjanjian Malaysia 1963 dan Perlembagaan Malaysia," katanya.

Mengenai barisan kabinet beliau, ketua menteri berkata pada dasarnya tiada perubahan dilakukan buat sementara waktu, kecuali bagi kementerian kewangan dan perancangan ekonomi yang menerima tambahan portfolio.

Ditanya sebab beliau tidak melantik timbalan ketua menteri ketiga seperti yang dilakukan di bawah pentadbiran Allahyarham Adenan, Abang Johari mengulangi bahawa beliau berhasrat untuk meneruskan apa yang telah dilaksanakan atau dirancang oleh Adenan.

"Berilah saya masa... saya akan melakukan rombakan kabinet apabila tiba masanya."

Abang Johari berkata sungguhpun mengetuai empat kementerian, itu bukanlah bebanan kepada beliau memandangkan beliau mempunyai banyak menteri muda yang berkebolehan untuk membantunya.

Mengenai UMNO, beliau berkata: "Kami akan terus bekerjasama rapat dengan UMNO dalam semangat Barisan Nasional."

Ditanya tentang pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Tanjung Datu yang tarikh penamaan calon ditetapkan pada 4 Feb dan pengundian pada 18 Feb, beliau berkata jadual itu sesuai dengan BN negeri.

Abang Johari berkata beliau masih belum maklum atau menerima nama bakal calon bagi kerusi berkenaan yang sebelum ini disandang Allahyarham Adenan.

"Kami masih bersedih atas pemergian penyandang... bagaimanapun Parti Pesaka Bumiputera Bersatu akan mengadakan mesyuarat majlis tertinggi pada Sabtu ini untuk membincangkan perkara itu.

"Kami mahu seorang calon yang bukan sahaja layak tetapi juga boleh menang,"
katanya.
-- BERNAMA