Petugas barisan hadapan dalam pelbagai bidang yang bertungkus lumus memerangi COVID-19 di Sarawak bakal menerima elaun bulanan khas sebanyak RM200 bagi tempoh enam bulan.

Perkara itu diumumkan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam sidang media Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 3.0 di Kuching pada Jumaat.

Menurut Abang Johari, pakej bantuan elaun ini melibatkan dana keseluruhan berjumlah RM3.2 juta.

“Kerajaan Sarawak amat menghargai sumbangan dan pengorbanan anggota barisan hadapan yang terlibat secara langsung dalam pengurusan wabak COVID-19 sekali gus terdedah kepada risiko jangkitan semasa menjalankan tugas di Sarawak,” katanya.

Tambah beliau, pakej bantuan ini akan memberi manfaat kepada 358 anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia, kakitangan pihak berkuasa tempatan (870), anggota Bomba dan Penyelamat (887) serta Anggota Pertahanan Awam (500).

Sebelum ini elaun serupa diumumkan dalam BKSS 1.0 oleh Abang Johari buat kakitangan perubatan, Jabatan Imigresen, polis, petugas bilik gerakan negeri, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan anggota RELA di negeri itu.

Sementara itu, dalam sidang media yang sama, Abang Johari turut mengumumkan bantuan RM500 buat individu bujang di negeri itu berpendapatan kurang RM2,000 sebulan.

“Saya juga dengan sukacita ingin mengumumkan kerajaan Sarawak akan memberi bayaran tunai secara one-off sebanyak RM500 kepada 377,806 individu bujang yang berumur 21 tahun ke atas dan berpendapatan di bawah RM2,000 sebulan,” ujarnya.

Abang Johari berkata, secara keseluruhan, pakej BKSS 3.0 ini membabitkan dana tambahan sebanyak RM290 juta bagi membantu rakyat Sarawak yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Beliau berharap suntikan dana itu dapat memulihkan ekonomi negeri itu untuk terus bergerak ke hadapan dalam memacu agenda pembangunan Sarawak.