Abdul Halim dilantik semula sebagai Timbalan Speaker Dewan Negara

Abdul Halim dilantik semula sebagai Timbalan Speaker Dewan Negara
Beliau menjadi Ahli Dewan Negara pada November 2014 sebelum dilantik sebagai Timbalan Speaker Dewan Negara 18 April 2016. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Senator Datuk Seri Abdul Halim Abd Samad dilantik semula sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara bagi penggal kedua, berkuat kuasa hari ini.

Beliau mengangkat sumpah sebagai senator bagi penggal kedua di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri S. A. Vigneswaran dalam satu persidangan khas di Dewan Negara, Bagunan Parlimen.

Bercakap kepada wartawan selepas majlis itu, Abdul Halim, 77, berkata beliau akan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh dedikasi dan mempertahankan kedudukan institusi tertinggi negara itu.
"Saya berikrar untuk terus melaksanakan tugas dengan cemerlang dan membawa Dewan Negara ke satu tahap yang lebih baik.

"Saya juga akan terus memastikan kualiti perbahasan ahli-ahli Dewan Negara dipertingkatkan," katanya.

Abdul Halim, yang memulakan kerjayanya sebagai guru sekolah, pernah menjadi Setiausaha Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan memegang jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa dari 2004 hingga 2013.

Beliau menjadi Ahli Dewan Negara pada November 2014 sebelum dilantik sebagai Timbalan Speaker Dewan Negara 18 April 2016.

Pada persidangan itu, Dewan Negara turut meluangkan satu minit bertakafur bagi mendoakan dan mengingati bekas Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Kedah, Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah yang mangkat pada 11 Sep lalu.

-- BERNAMA