Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan memohon mengadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenaan status menteri besarnya.

Sebelum ini, Abdul Khalid tidak menolak kemungkinan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai langkah menyelesaikan krisis kepimpinan yang melanda negeri itu.

Bagaimanapun, beliau berkata segala keputusan akan diambil setelah beliau mendapat nasihat dan perkenan Sultan Selangor.

Berikut adalah kenyataan penuh daripada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim:


KENYATAAN MEDIA

17 OGOS 2014

SAYA AKAN MOHON MENGHADAP DYMM SULTAN SELANGOR BERKENAAN STATUS MENTERI BESAR

Saya menerima dengan hati terbuka keputusan Parti Sa-Islam Malaysia (PAS) berkenaan status Menteri Besar dan barisan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor.

Dengan perkembangan terbaharu ini, saya akan memohon menghadap DYMM Sultan Selangor untuk memberi nasihat tentang langkah-langkah seterusnya.

Sehingga DYMM Sultan membuat keputusan muktamad, saya akan meneruskan pentadbiran kerajaan Negeri Selangor bersama 4 ahli MMKN daripada PAS akan meneruskan pentadbiran bagi memastikan rakyat tidak terkesan dengan krisis politik ini.

Saya mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan dan semua rakyat Selangor atas sokongan dalam usaha bersama untuk menjayakan agenda reformasi di Selangor.

Saya juga berterima kasih atas kesabaran semua pihak dalam penyelesaian isu dan perkembangan-perkembangan terkini mengikut tatacara yang betul dan berasaskan undang-undang.

Insya'Allah, rakyat Selangor akan terus dipelihara dan diberkati Allah SWT.

TAN SRI DATO’ SERI ABDUL KHALID IBRAHIM
YAB DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

*Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim adalah Menteri Besar Selangor
*Ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Astro AWANI