Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) Permodalan Nasional Bhd (PNB), Datuk Abdul Rahman Ahmad, dilantik sebagai Pengerusi Sime Darby Bhd (Sime Darby) berkuat kuasa 31 Oktober ini.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, Sime Darby berkata, Pengerusinya pada masa ini, Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah akan bersara daripada lembaga pengarah syarikat pada tarikh yang sama berikutan masalah kesihatan.

Abdul Rahman akan menyertai Sime Darby sebagai Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif pada 1 September sebelum menjawat jawatan Pengerusi.

"Kami bersedia bagi peralihan lancar kepimpinan Lembaga Pengarah di bawah hala tuju Abdul Rahman," kata GCEO Sime Darby, Datuk Jeffri Salim Davidson.

Sime Darby merupakan antara syarikat strategik utama PNB dengan PNB memiliki 52 peratus kepentingannya.

Abdul Rahman ialah bekas Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Ekuiti Nasional Bhd, firma ekuiti swasta berkaitan kerajaan.

Sebelum menyertai Ekuinas, beliau merupakan Pengarah Urusan Kumpulan dan CEO Media Prima Bhd, kumpulan pelaburan media bersepadu terkemuka selain menjadi Pengarah Urusan Kumpulan dan CEO Malaysian Resources Corporation Bhd, konglomerat Malaysia terkenal. - BERNAMA