Pelakon dan pelawak terkenal Salam Pantai Timur, Mohd Idris Berahim, lebih dikenali sebagai Abe Jali, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu, jam 4 pagi tadi.

Arwah yang berusia 58 tahun dimasukkan ke hospital itu pada Jumaat lalu selepas mengadu tiada selera makan dan mengalami serangan angin ahmar kali kedua yang menyebabkan mulut dan badannya lumpuh.

Menurut kakak sulung arwah, Mek Som Berahim, 64 tahun, Khamis lalu ketika melawat Abe Jali, arwah kelihatan lemah menyebabkan keluarga mengambil keputusan untuk membawanya ke hospital.

"Ketika mahu menyuapnya makan, dia bercakap pun sudah tidak jelas selain badannya juga nampak tidak bermaya dan kami terus membawanya ke hospital.

"Walau bagaimanapun, pada malam tadi, ketika salah seorang anak saya menjaganya, arwah sudah nampak lelah sebelum kami memanggil doktor dan mengesahkan Abe Jali sudah meninggal dunia.

"Arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Naka, Bekelam selepas asar kerana menunggu ketibaan pulang anaknya dari Melaka," katanya.

BACA: Abe Jali Salam Pantai Timur, uzur dan ditinggal isteri... hanya ibu jadi peneman diri

Sementara itu, anak arwah, Nur Atiqah Idris, 23 berkata, dia mengetahui kematian arwah bapanya apabila dihubungi ahli keluarga.

Dia yang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM) berkata, sebelum ini, ahli keluarga sudah memberitahu bapanya itu berada dalam keadaan tenat dan memintanya pulang segera.

"Sepatutnya saya pulang ke kampung tiga hari lalu.. namun pada ketika itu, saya sedang menduduki peperiksaan akhir semester dan tidak sempat berjumpa dengan arwah ayah.

"Kali terakhir saya berjumpa arwah ayah ketika hari raya Aidilfitri lalu," katanya.

Arwah sebelum ini dilaporkan berada dalam keadaan uzur selepas diserang angin ahmar selain menghidap penyakit kencing manis sehingga kaki kanannya dipotong paras lutut Julai tahun lalu.

Arwah terkenal sebagai pelakon dan pelawak sitkom dialek Kelantan, Salam Pantai Timur tahun 2007 selain aktif sebagai pengacara majlis dan persembahan dikir barat.