Malaysian Indian Motorsport Academy (MIMA) bakal menganjurkan acara amal yang akan menghimpun peminat sukan permotoran dari kaum India negara ini di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) buat julung kali pada 23 Disember depan.

The Speed Fiesta 2017 menampilkan penyertaan dari peserta masyarakat India dari negara ini yang bertujuan untuk mengumpul dana bagi membiayai 200 murid sekolah rendah dari 20 sekolah jenis kebangsaan Tamil di kawasan pedalaman seluruh Malaysia.

Pengerusi MIMA dan Pengedar rasmi barangan F1 Malaysia Datuk K. Sethambaram Ram berkata ini adalah platform bagi masyarakat India Malaysia untuk didedahkan kepada dunia permotoran.

“Masyarakat India di negara ini kurang didedahkan kepada dunia permotoran. Kami mahu mereka untuk merasai pengamalaman dengan menggunakan kemudahan sedia ada.

“Kami mahu anak muda dijauhkan dari gejala sosial, ini adalah salah satu cara bagi mengisi masa lapang mereka dengan melakukan aktiviti berfaedah seperti ini,” katanya dalam satu kenyataan media.

Lebih 4,000 peminat sukan permotoran dijangka hadir pada acara amal ini.

Pengunjung bakal merasai pengalaman untuk memandu kereta berkelajuan tinggi, pameran automotif di kawasan paddock, lawatan menyeluruh di SIC dan simulasi perlumbaan.