Acara ‘Sama-sama MH370' iaitu satu inisiatif yang digerakkan golongan belia bagi memperingati dan mendoakan keselamatan pesawat mh 370 telah diadakan petang semalam.

Pelbagai aktiviti disusun sehingga 9.00 malam termasuk bacaan puisi, grafitti, persembahan muzik, pameran seni dan ruang untuk berkongsi ucapan dan harapan untuk MH370.

Antara yang hadir bagi menjayakan acara yang bermula jam 2.00 petang tadi ialah Altimet, Ben Ramli, Kumpulan Pesawat dan ramai lagi.

Turut hadir untuk memberi sokongan kepada program itu ialah Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Beliau yang ditemui pada program tersebut berkata, acara seperti ini membolehkan golongan muda mengekspresikan perasaan kesal dan sedih melalui pelbagai cara.

"Hari ini kita lihat rakan-rakan kita yang mempunyai kesenian dalam hidup mereka mengekspresikan kesedihan mereka melalui puisi dan muzik, dan ini adalah salah satu cara kita memberikan isyarat kepada rakyat kepada dunia bahawa golongan seni serta karyawan mempunyai cara sendiri untuk memberikan makna kepada kesedihan mereka terhadap MH370,” kata Abdul Rahman kepada pemberita, pada Ahad.

Menurut pengendali program, Elviza Michele Kamal pula, acara ini merupakan acara spontan antara rakan-rakannya yang telah lama wujud di dalam scene 'indie' seperti membaca puisi, penjualan majalah dan buku, serta persembahan muzik tanpa bergantung kepada mana-mana penerbit atau penaja.

Katanya golongan seni mempunyai cara yang berbeza untuk mengekspresikan diri mengenai kejadian pesawat MH370 itu.

sama2

Program Sama-sama MH370 diadakan di Ruang, SS 18/6, Subang Jaya dan dianjurkan sebuah syarikat yang enggan dikenali dan disokong oleh IM4U.

Dalam program itu. pengunjung turut mengekspresikan perasaan mereka terhadap insiden MH370 pada 'Wall of Expression' di mana ianya akan dimuatnaik ke media sosial seperti Twitter dan Instagram.

Solat hajat serta bacaan Yassin juga diadakan selepas Maghrib.