Sama ada wajar atau tidak peruntukan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dinilai semula kerana kekurangan penyertaan wanita, bukan persoalannya.

Bagi Penganalisis Politik Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Sivamurugan Pandian, perkara yang perlu diteliti adalah sekiranya diskriminasi gender memainkan peranan besar dalam isu ini.

Katanya, tiga faktor yang perlu dilihat adalah penerimaan, keterbatasan sokongan golongan yang berkuasa dan adakah wanita masih dilihat sebagai tidak mampu menggalas tugas besar.

“Mungkin sebahagian daripada kita masih mempunyai sikap untuk tidak melihat kepada kemampuan dan kebolehan wanita dalam pelbagai sektor.

“Mungkin kita masih terikat dengan mentaliti dunia ketiga dimana seolah-olah wanita hanya boleh lakukan sesuatu pekerjaan yang terhad dan tidak boleh diberikan ruang lebih besar kerana merasakan mereka tidak mempunyai kemampuan atau kebolehan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

BACA: Peruntukan dikaji semula jika gagal lantik 30 peratus wanita - Zuraida

Tambahnya, memandangkan kita sudah berada pada abad ke-21, golongan lelaki seharusnya tidak lagi memandang rendah terhadap kemampuan golongan wanita.

“Satu lagi perkara penting yang harus kita lihat adalah penerimaan dalam kalangan golongan lelaki sendiri bahawa kewibawaan wanita itu sudah terbuki dan diiktiraf dalam konteks negara luar.

“Jadi, wajar kita berikan peluang yang lebih besar kepada wanita, bukannya tersekat dengan beberapa jawatan tinggi dan menyatakan bahawa mereka sudah diberikan ruang,” katanya.

Awal hari ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata, kementeriannya akan menilai semula peruntukan kepada PBT yang gagal melantik 30 peratus ahli majlis di kalangan wanita.