SIKAP sesetengah guru madrasah yang adakalanya mengamalkan budaya pembelajaran dari luar negara adakalanya membuatkan institusi itu sering disalah anggap.

Seorang penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin yang berkongsi pengalamannya menuntut ilmu di Pakistan berkata, kaedah agak keras seperti merotan dan memukul sememangnya diamalkan di sesetengah madrasah luar negara.

“Pengajian di madrasah Malaysia tidak mempunyai masalah dari sudut pendidikan agama, tetapi masalahnya ialah apabila para guru mengambil budaya pembelajaran dari luar negara, contohnya Pakistan,” ulas pendakwah Islam, Wan Ji Wan Hussin berhubung isu pukul yang berlaku di madrasah tempatan.

Menerusi satu kenyataan Facebook, Wan Ji yang pernah menuntut pengajian agama di Karachi, Pakistan berkata memukul pelajar yang tidak menghafal sesuatu subjek adalah sebahagian dari amalan mereka.

“Di Pakistan, mereka memukul secara teruk, seperti pukul guna kayu. Malahan, berbekas pukulan.

“Saya sendiri pernah dipukul teruk oleh guru saya disebabkan tidak hafal matan kitab al-Iqna’domir (kitab nahu Arab). Sejak dari itu, saya hafal semua kitab kerana takut kena pukul. Masa itu, umur saya dalam 16 tahun,” kata Wan Ji.

Mengulas lanjut, Wan Ji berkata dia sendiri tidak pernah mengalami pengalaman dipukul dengan teruk sewaktu menuntut di negara ini.

“Saya tidak pernah nampak wujud amalan pukul teruk dalam pendidikan madrasah di Malaysia. Saya tidak pernah mengalaminya ketika saya belajar di pondok lubuk Tapah, Pasir Mas Kelantan sebelum bertolak ke Pakistan,” ujarnya lagi.

Oleh itu, Wan Ji menyeru pihak kerajaan untuk memantau cara pembelajaran di madrasah-madrasah di sini.

Semalam, seorang pelajar madrasah tahfiz di Kota Tinggi, Johor Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi dilaporkan meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail (HSI) kira-kira jam 2.05 petang.

Mohamad Thafiq meninggal dunia sebelum sempat menjalani pembedahan untuk memotong tangan seperti yang dijadualkan berikutan keadaan jantungnya yang tidak stabil.

Kira-kira dua minggu lalu, Mohamad Thaqif mengadu pada keluarganya bahawa dia telah disebat pembantu warden, sekali gus membawa kepada masalah kesihatan kepadanya hingga menyebabkan kedua-dua belah kakinya dipotong.

Namun, punca kematian masih belum dikenal pasti.

BACA:Pembantu warden pukul pelajar miliki rekod jenayah

BACA: Kes pukul pelajar tahfiz diklasifikasi semula sebagai kes bunuh - Ketua Polis Negara