Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador kecewa dengan sikap sesetengah negara yang dilihat tidak ikhlas dalam membantu misi Polis Diraja Malaysia (PDRM) menangkap ahli perniagaan dalam buruan Low Teik Jho.

Menurutnya, pihaknya mengetahui berhubung keberadaan ahli perniagaan yang lebih dikenali sebagai Jho Low itu selain turut memperoleh maklumat dalaman, bagaimanapun perkara itu menjadi sukar ekoran keengganan negara luar memberi kerjasama.

“Saya tahu di mana dia. Saya akan berusaha membantu untuk dapatkan semula semua duit dan harta-harta haram yang mereka beli dengan duit rompakan. Dan saya berjanji untuk bawa balik setiap daripada mereka itu.

“Ada beberapa negara yang cuba melindungi dia sedangkan kita memperoleh maklumat dia berada di sana. Saya harapkan kerjasama yang ikhlas tetapi perkara ini tiada. Ini mengecewakan saya, tetapi saya tidak boleh terus kecewa,” katanya.

Abdul Hamid berkata demikian pada satu sidang media selepas menghadiri majlis serah terima tugas di Bukit Aman hari ini.

Tambahnya, beliau yakin Jho Low tidak akan mampu untuk terus bersembunyi dalam satu temph yang begitu panjang dengan zaman teknologi yang canggih ketika ini.

Pada 4 Dis 2018, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengeluarkan waran tangkap terhadap ahli perniagaan kontroversi yang menjadi buruan polis itu bersama empat individu lagi.

Jho Low, antaranya, berdepan lima dakwaan pengubahan wang haram berjumlah AS$1.03 bilion.

Sebelum ini, Abdul Hamid berjanji untuk membawa pulang Jho Low ke Malaysia pada hujung tahun ini sebelum diheretkan ke muka pengadilan.