Selepas Kedah, ada lagi negeri yang dijangka menyaksikan berlaku pertukaran pentadbiran membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Membayangkan kemungkinan itu, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, apa yang berlaku di Kedah merupakan proses memantapkan politik supaya semua kerajaan negeri dapat bekerja dalam satu pasukan.

“Ia adalah sebahagian matlamat PN untuk kukuhkan politik dan tidak berhenti setakat Kedah sahaja, mungkin ada satu dua negeri nak ikut (tukar kerajaan) Kedah kita alu-alukan tukar kerajaan kepada PN.

“Kerajaan PN yang sudah terbentuk macam (di) Perak, Johor, Melaka adalah masa bekerja… untuk Kedah masuk fasa baharu, MB (Menteri Besar) baharu akan disokong. Parti yang tak tukar lagi, kena bersiap untuk kita tukar budaya kerja,” kata Annuar ketika ditemui, di sini hari ini.

Menteri Wilayah Persekutuan itu turut berpendapat, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir telah menjalanlan tugas dan khidmat selama 23 bulan namun, kaedah yang digunakan beliau tidak berjaya untuk mempertahankan kerajaan Pakatan Harapan Kedah.

Dalam perkembangan yang sama, Annuar berkata, pelantikan Muhammad Sanusi Md Nor turut dibincangkan dalam kepimpinan Muafakat Nasional pada awalnya dan PN.

Muhammad Sanusi, kata Annuar, merupakan pilihan konsesus dari PN, tambahan pula kerusi Dewan Undangan Negeri milik Pas di Kedah lebih banyak berbanding parti lain.
BACA: Muhammad Sanusi dilantik MB Kedah baharu


BACA: Mukhriz umum lepas jawatan MB Kedah berkuat kuasa serta merta