Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) mendedahkan ada pekerja yang sanggup diberhentikan kerja daripada menerima perubahan sementara dilakukan syarikat susulan impak COVID-19.

Pengarah Eksekutifnya, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, berhadapan perkara itu, pekerja dan pihak Kesatuan Sekerja sepatutnya membantu syarikat untuk bertahan lama dalam menghadapi pemulihan ekonomi.

Perubahan sementara termasuk pengurangan gaji dan pengurangan faedah-faedah tertentu katanya adalah memastikan langkah pemberhentian pekerja tidak dilakukan.

Bagaimanapun katanya, MEF melihat kurangnya kerjasama diberikan sesetengah pekerja dan kesatuan menyebabkan majikan tidak mampu menanggung kos operasi syarikat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika ini.

"Majikan sebenarnya cuba untuk tidak membuat sebarang pemberhentian pekerjaan dalam masa RMCO ini sebab kita sudah mula beroperasi. Tetapi tidak ada saya rasa kerjasama pekerja dengan kesatuan apabila mereka tidak mahu melihat tentang langkah-langkah pengurangan belanja atau pengurangan kos oleh syarikat dan pihak kesatuan, pekerja masih bertegasuntuk mereka dibayar gaji penuh, dan faedah penuh.

"Mereka tidak mahu mengurangkan langsung apa-apa hak mereka, dan mereka saya rasa lebih rela diberhentikan kerja daripada menerima sedikit perubahan dalam terma perkhidmatan mereka.Untuk memberikan kefahaman dan kerjasama yang lebih baik kepada pihak majikan, adalah lebih elok jika pekerja itu dan pihak kesatuan menerima perubahan sementara terhadap terma perkhidmatan mereka supaya syarikat ditolong untuk 'bernafas' lebih lama," katanya semasa dihubungi Astro AWANI melalui Skype pada Sabtu.

Jelasnya lagi, majikan ketika ini memerlukan sedikit masa daripada pekerja sehingga dapat berdiri semula dan bergerak secara pantas dengan ekonomi yang lebih baik pada masa akan datang.

"Pada masa ini pengurangan gaji dan faedah-faedah terma itu adalah amat kritikal. Harus dibenarkan untuk dilakukan bagi mengekalkan pekerja itu dalam pekerjaan kerana pada masa ini kalau kita memberhentikan pekerja untuk dia dapat kerja baharu adalah sukar kerana ketika ini kebanyakan majikan tidak melaksanakan polisi pengambilan pekerja," tambahnya.

Bagaimanapun, beliau yakin majikan tidak lagi melaksanakan langkah pengurangan gaji dan faedah-faedah terma selepas ekonomi syarikat kembali normal.

"Namun, langkah pengurangan gaji dan faedah terma itu adalah langkah sementara. Syarikat, saya pasti akan beroperasi seperti biasa apabila dapat dapat bernafas semula," ujarnya lagi.

Justeru katanya, pekerja, kesatuan sekerja dan kerajaan khususnya perlu memberi sokongan kepada langkah dibuat majikan memandangkan ia merupakan inisiatif jangka panjang serta memberi situasi 'menang-menang' antara kedua-dua pihak.