Ada pemimpin berketurunan raja, bangsawan gagal fahami kesusahan rakyat - Tun Mahathir

Ada pemimpin berketurunan raja, bangsawan gagal fahami kesusahan rakyat - Tun Mahathir
Dr Mahathir berharap golongan muda dapat memahami sebab kenapa generasi terdahulu berjuang menentang penjajahan dan memerdekakan negara. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Keupayaan merasai kepayahan dan denyut nadi rakyat kebanyakan merupakan antara aspek kepimpinan yang sering terlepas pandang sesetengah pemimpin, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata ada pemimpin berketurunan raja dan golongan bangsawan kadangkala berkecenderungan untuk tidak memahami penderitaan rakyat biasa.

“Kadangkala, apabila seorang pemimpin itu datang daripada golongan bangsawan, autokratik dan berketurunan raja, mereka berkecenderungan untuk tidak memahami penderitaan orang biasa.
“Keadaannya seperti kata-kata yang pernah diungkap Marie Antoinette (bekas Permaisuri Perancis), yang apabila dimaklumkan petani laparkan roti, beliau berkata, berikan mereka kek.

“Sama ada Antoinette mengatakannya atau tidak, isunya adalah pemimpin yang terpisah (daripada rakyat) gagal untuk menyelesaikan penderitaan, sebaliknya membiarkan ia berterusan.

“Rakyat biasa yang menjadi pemimpin juga ada yang mengabaikan penderitaan rakyat, namun ia bukan kerana mereka tidak tahu, tetapi kerana tidak ambil peduli,” katanya ketika berucap pada program ‘My Voice My Nation Malaysia 2019’ di Bukit Jalil pada Rabu.


Dr Mahathir juga berharap golongan muda memahami sebab kenapa generasi terdahulu berjuang menentang penjajahan dan memerdekakan negara daripada penjajah.

“Kamu (generasi muda) bertuah. Saya harap rakyat Malaysia tidak lagi melalui saat getir itu, namun kebebasan tidak diberi, kamu perlu berusaha mendapatkan dan mempertahankannya.

“Saya percaya itu tugas yang diamanahkan kepada kamu. Baik atau buruk, kecil atau besar, generasi saya sudah lakukan bahagian kami,” katanya.

Tag: Mahathir Mohamad, pemimpin, aristokrat, bangsawan, My Voice My Nation Malaysia 2019, tun m, tun mahathir


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.