Ada yang menyalahgunakan pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) dengan membeli barang yang tidak ada kena-mengena dengan perniagaan mereka seperti motosikal dan perabot.

Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Dr Hatta Ramli, walaupun kes yang dilaporkan itu agak terpencil, agensi berkenaan akan memastikan kriteria pinjaman diperketatkan agar ia benar-benar efektif dalam membantu mengembangkan perniagaan di peringkat kecil dan sederhana.

“Walaupun jumlah peruntukan turun, kita di TEKUN Nasional tetap menggunakan dana dalaman sebanyak RM250 juta. Ini menjadikan jumlah yang boleh diberikan kepada usahawan sebanyak RM350 juta.

“Jumlah ini, kriteria pinjamannya jelas tetapi ada yang guna duit ini untuk beli perabot dan motosikal. Ini menyebabkan pinjaman kita tidak efektif,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Datuk Nizar Zakaria (BN-Parit) ingin mengetahui sama ada penurunan dana pinjaman TEKUN Nasional dari RM500 juta kepada RM100 juta dalam belanjawan 2019 akan memberi impak kepada program pembangunan usahawan.

Mengulas mekanisma pembayaran balik semula, Dr Hatta berkata, sekiranya peminjam itu dikategorikan sebagai ‘hardcore’, atau tidak membayar balik selama 36 bulan, maka khidmat agensi pengutip hutang akan digunakan.