ISU kos sara hidup dan harga barang tidak akan pernah habis kita bincangkan.

Baru-baru ini, selepas harga runcit minyak diturunkan bermula 5 Januari, timbul kembali harapan bahawa harga barang akan turut turun.

Ini kerana, harga minyak antara faktor yang paling kerap disebut sebagai penentu besar harga barangan.

Tetapi, lima hari sudah berlalu selepas kerajaan mengumumkan penurunan harga petrol RON95, RON97 dan diesel, impaknya kepada penurunan harga barang masih tidak dapat dilihat dengan jelas.

Perlu dinyatakan di sini bahawa, banyak faktor dan banyak pihak menyumbang kepada harga akhir sesuatu barang, justeru menjadikannya sukar untuk mengenal pasti satu punca mutlak mengapa harga barang tidak turun.

Sebelum ini, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Datuk Ameer Ali Mydin mendakwa pembekal dan penyedia pengangkutan adalah penyebab mengapa harga barang tidak turun.

“Penyedia pengangkutan sepatutnya menurunkan caj pengangkutan secara automatik selepas harga minyak turun, tetapi sehingga kini tiada satu pun penyedia pengangkutan kami yang memberikan harga lebih murah,” katanya dalam temubual bersama rancangan Pilihan AWANI pada 8 Januari.

“Kalau kos barang (dijual oleh pembekal) kepada kita turun, kita terpaksa turun harga kita jual,” tambahnya.

Keesokan harinya, rancangan Pilihan AWANI menemu bual Presiden Persatuan Pemilik Lori Pan-Malaysia 1987, Anthony Tan untuk mendapatkan perspektif penyedia pengangkutan pula.

Apa yang beliau katakan mungkin mengejutkan sesetengah pihak dan menjawab sebahagian persoalan yang ditanya selama ini – adakah kita sudah tahu mengapa harga barang degil untuk turun?

Adakah faktor pengangkutan dan lori sebenarnya antara punca harga barang kekal walaupun harga minyak turun?

Tan mengakui, rata-rata penyedia pengangkutan dan lori memang tidak menurunkan caj pengangkutan mereka walaupun harga diesel telah diturunkan 5 Januari lalu.
“Selama ini kami menderita, sekarang (selepas penurunan harga diesel) baru kami sedikit selesa..

“Memang harga diesel diturunkan, tetapi hanya cukup-cukup untuk bagi kami ruang untuk bernafas,” katanya.

Katanya, syarikat pengangkutan tidak meningkatkan caj mereka walaupun harga diesel meningkat selama ini.

“Selama ini kami menderita, sekarang (selepas penurunan harga diesel) baru kami sedikit selesa, kerana kos buruh kami meningkat, sekurang-kurangnya sekarang kami ada sikit ruang untuk mengekalkan kos buruh,” katanya.

Beliau berkata, syarikat pengangkutan juga berdepan peningkatan kos membeli tayar dan alat ganti, khasnya selepas penyusutan ringgit kerana komponen ini perlu diimport dari luar negara.

“Kos buruh juga meningkat. Persaingan untuk mendapatkan pemandu bertambah sengit, jadi kami perlu tawarkan gaji lebih tinggi kepada pemandu.

Beliau berkata gaji pemandu mewakili kira-kira 30 peratus kos syarikat pengangkutan.

“Bila gaji pemandu meningkat, ia tidak boleh diturunkan (walaupun harga diesel turun),” tambahnya.

Tetapi katanya, ada satu cara syarikat pengangkutan boleh menurunkan caj pengangkutan mereka.

“Harga diesel baru turun beberapa hari lepas. Kita perlu biarkan satu kitaran berlalu dahulu untuk kami nilai sebarang manfaat (daripada penurunan ini).

“Kami perlu tunggu dua bulan, kerana sekarang adalah mekanisme apungan, ia mungkin meningkat semula bulan depan atau dua bulan lagi.

Tan berkata sekiranya harga diesel kekal pada paras semasa atau menjadi lebih murah selama dua bulan, syarikat pengangkutan berupaya menurunkan caj mereka.

“Saya percaya jika harga diesel turun ke RM1.80 atau RM1.70 seliter, faktor pasaran akan mula menyebabkan caj pengangkutan turun,” katanya.
Saya rasa peniaga pun sudah selesa dengan margin keuntungan mereka..

Pada masa yang sama, Presiden Persatuan Haulier Malaysia, Datuk Nazari Akhbar mengingatkan orang ramai untuk tidak hanya menyalahkan pengangkutan apabila harga barang tidak turun.

“Kita tidak boleh salahkan syarikat pengangkutan saja. Bila minyak turun, kami turunkan caj, harga barang tak turunkan juga.

“Dulu sewaktu zaman bekas perdana menteri Tun Abdullah Badawi pun harga minyak melambung, selepas itu harga minyak turun semula, peniaga tidak turunkan semula harga mereka pun.

“Saya rasa peniaga pun sudah selesa dengan margin keuntungan mereka,” katanya.