Negara kebelakangan ini selalu dikejutkan dengan pelbagai isu berkaitan sensitiviti agama yang seolah-olah diperkotak-katik oleh segelintir pihak.

Pertengahan tahun lalu, pasangan kontroversi Alvin Tan, 25 dan Vivian Lee, 24 didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan menghina Islam dalam Facebook.

Selang beberapa hari, negara sekali lagi dikejutkan oleh kes seorang penjaga kaunter kafe internet dicedera dan dibogelkan oleh sekumpulan lelaki setelah dia membuat paparan kontroversi yang mempersenda Ramadan.

Tidak cukup dengan itu, sebuah sekolah di Sungai Buloh pula kemudian dikata mengarahkan semua pelajarnya yang bukan Islam makan dan minum di bilik persalinan pada waktu rehat ketika bulan Ramadhan.

Pertikaian berkait agama bagaikan tidak henti ‘mewarnai’ negara dengan kes-kes seperti klip video '1 Hari Di Hari Raya' , surau pusat peranginan dijadikan tempat upacara agama lain, berhala Haji dan Hajah di Lumut, Perak, isu kalimah Allah dan kes rampasan Bible oleh JAIS.

Adakah toleransi agama di kalangan rakyat pelbagai kaum di Malaysia masih kurang? Atau sebaliknya? Undi di poll atau tinggalkan komen/cadangan di ruangan yang disediakan di bawah.