Dua murid Sekolah Kebangsaan Santong, Paka parah apabila motosikal yang dibonceng dirempuh sebuah kereta di hadapan sekolah berkenaan.

Insiden berlaku jam 7.15 pagi di Kilometer 8, Jalan Paka - Al Muktafi Billah Shah melibatkan dua beradik Muhammad Salahuddin Mohd Nasir, 12 tahun, dan Najwa Adawiyah Abdul Nasir, 11 tahun, yang cedera parah di bahagian kepala.

Ibu mereka Nor Azizah Talib, 48 tahun bagaimanapun hanya cedera ringan.

Ketika kejadian, Noor Azizah dalam perjalanan menghantar kedua-dua anaknya ke sekolah.

Motosikal rempuh

Bagaimanapun motosikal Modenas yang ditunggang dirempuh sebuah Perodua Alza ketika cuba membuat pusingan U di laluan lurus menghala ke Bandar Paka.

Kereta berkenaan di pandu Mohd Sharul Muin, 25 tahun datang dari arah sama dan dipercayai gagal mengelak motosikal yang dinaiki mangsa.

Akibat rempuhan itu, ketiga-tiga mangsa tercampak beberapa meter ke tengah jalan raya.

Muhammad Salahuddin kini dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut manakala adiknya, Najwa Adawiah dirawat di Unit Kecemasan Hospital Dungun.

Ibu mereka yang mengalami cedera ringan, dirawat di Klinik Kesihatan Paka sementara pemandu Perodua Alza tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Dungun, Supritenden Baharuddin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian dan kes disiasatan di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.