Kes saman Aminah Abdullah, ibu kepada Allahyarham Tan Sri Jamaludin Jarjis, terhadap dua orang cucunya berhubung kegagalan memasukkan syer tiga buah syarikat ke dalam senarai aset harta pusaka dianggar bernilai RM1.3 bilion, hari ini dimulakan dengan memanggil adik bekas Ahli Parlimen Rompin itu, Mohamed Najeb Ali di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

Sebelum ini kes itu tidak dapat diselesaikan melalui proses mediasi.

Menurut peguam Aminah dan Najeb, Pawancheek Merican, beberapa isu yang akan dibangkitkan adalah pemilikan beberapa aset kediaman di luar negara selain wang tunai.

Aminah, 85 tahun, selaku plaintif sebelum ini memfailkan saman itu melalui firma Tetuan Wan Marican, Hamzah & Shaik pada 3 Januari lalu dengan menamakan anak sulung Allahyarham, Nur Anis, 34 tahun, dan Ikwan Hafiz, 32 tahun, masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua.

Bicara berlangsung di dalam kamar Hakim Mohd Firuz Jaffril.

Aminah sebelum menolak cadangan kedua-dua cucunya untuk menyelesaikan kes saman itu selepas mendapati ia tidak munasabah.

Kedua-dua defendan mencadangkan untuk memberi wang faraid kepada plaintif namun cadangan itu ditolak selepas mendapati ia tidak ada kena mengena dengan saman sivil berhubung syer syarikat yang dikemukakan di mahkamah.

Kes saman berkenaan diteruskan dengan perbicaraan bermula hari ini dengan Najeb menjadi saksi pertama daripada 12 orang saksi plaintif akan memberi keterangan.

Aminah yang memfailkan saman itu pada 3 Januari lepas, mendakwa kedua-dua defendan sebagai pentadbir bersama harta pusaka Jamaludin gagal memasukkan syer tiga syarikat sebagai aset harta pusaka ke dalam senarai aset dalam surat kuasa mentadbir sewaktu kematian si mati pada 4 April 2015 dan gagal memasukkan syer itu dalam tanggungan sejak 6 Julai 2017.

Dalam penyataan tuntutannya, Aminah mendakwa kedua-dua defendan gagal memasukkan syer tiga syarikat iaitu syarikat Rantai Wawasan Sdn Bhd, Alpine Motion Sdn Bhd, Ivory Insight Wawasan Sdn Bhd sebagai sebahagian daripada aset harta pusaka si mati dan dibuat dengan tujuan menafikan hak dan kepentingan plaintif sebagai benefisiari harta pusaka si mati.

Plaintif juga mendakwa kedua-dua cucunya itu gagal menyatakan anggaran nilai bagi setiap satu syer tiga syarikat itu yang bernilai RM1,384,312,154, dua tahun enam bulan selepas kematian Jamaludin, dan gagal memberi maklumat berhubung dengan harta pusaka sebelum plaintif melantik peguam syarie dan peguamcara untuk bertindak bagi pihak plaintif.

Kedua-dua defendan juga didakwa gagal memasukkan sebuah apartmen di Amerika Syarikat dengan anggaran nilai RM10 juta ke dalam senarai aset yang dilampirkan bersama surat pentadbiran dan gagal memaklumkan kepada plaintif bahawa beliau telah memperoleh sijil faraid bagi harta pusaka daripada Mahkamah Tinggi Syariah pada 6 Oktober 2016.

Oleh itu, plaintif menuntut namanya dimasukkan dalam senarai pentadbir bersama harta pusaka kerana beliau merupakan ibu kandung yang sah kepada si mati mempunyai kepentingan dalam harta pusaka.

Turut dituntut kedua-dua defendan membayar dividen, bonus, keuntungan dan isu terbitan daripada pegangan syer tiga buah syarikat itu ke dalam akaun plaintif dalam tempoh 21 hari dari tarikh perintah dikeluarkan.

Jamaludin terkorban dalam nahas helikopter di Kampung Sungai Pening, Semenyih, Selangor pada 4 April 2015.
Selain Jamaludin, bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Azlin Alias adalah antara enam orang yang terbunuh dalam kejadian itu.

Empat lagi mangsa di dalam helikopter itu ialah juruterbang Kapten Clifford William Fournier; pembantu operasi helikopter Aidana Baizieva; pengawal peribadi Jamaluddin, Razakan B Seran dan usahawan Datuk Tan Huat Seang.

Semua mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang daripada menghadiri majlis kenduri kahwin anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Pekan, Pahang.

Helikopter itu dalam penerbangan dari Kuantan ke Subang.