Anggota polis yang dikhuatiri lemas ketika memburu suspek jenayah di Dungun sempat berpesan kepada adiknya supaya menjaga kesemua adik-beradiknya dengan baik.

Menurut adik mangsa, Wan Mohd Zulhakimi Wan Yahya, abangnya itu berubah menjadi seorang pendiam dan sebelum keluar bertugas, abangnya turut meminta maaf kepadanya.

Wan Muhd Zulhakimi mengakui kelakuan abangnya, Wan Mohd Arif Wan Yahya, 28, agak aneh dan itu adalah kali pertama dia berbuat demikian sepanjang tinggal bersama di kuarters polis sejak dua tahun lalu.

Jelasnya, abangnya itu meminati bidang kepolisan dan menyertainya pada tahun 2015 selepas tamat melanjutkan pelajaran di sebuah kolej.

“Dia ada cakap, buat kerja elok-elok dan hati-hati tinggal di rumah. Dia juga berpesan, kalau dia ada buat salah, dia minta maaf.

“Rasa sangat sedih dan pelik tengok dia (buat) macam itu,” ujar Wan Muhd Zulhakimi.

Sementara itu isteri mangsa, Syarifah Murni Syed Abdul Aziz berkata, sekitar jam 12 tengah malam, dia menerima satu panggilan telefon dari seorang anggota Balai Polis Paka, memaklumkan insiden yang menimpa suaminya.

Menurut Syarifah Murni, ketika itu dia sedang mengikuti kursus kejururawatan di Kolej Jururawat Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

“Saya tahu dalam pukul 12 (tengah malam). Ada anggota menelefon untuk beritahu tentang suami saya. Tapi sebelum itu pada pukul 8 malam, saya ada Whatsapp dengan dia,” ujarnya.

Sharifah Murni berkata, kali terakhir dia bertemu dengan suaminya adalah pada awal November lalu.

Dalam kejadian jam 8.30 malam Jumaat, Wan Mohd Arif dikatakan terjatuh ke dalam Sungai Paka ketika mengejar seorang suspek kes pecah rumah di Kampung Baru Durian Mentangau.

Operasi mencari dan menyelamat kedua-dua mangsa sedang giat dijalankan di sepanjang sungai tersebut.