Tutup

Adnan mahu SPRM percepat siasatan di Cameron Highlands

Adnan mahu SPRM percepat siasatan di Cameron Highlands
Adnan mahu SPRM percepat siasatan di Cameron Highlands - Gambar fail
KUANTAN: Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berharap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat mempercepatkan penyiasatan berhubung wujudnya amalan rasuah dan salah guna kuasa di Cameron Highlands.

Amalan ini mendorong kepada penerokaan tanah haram secara berleluasa hingga menyebabkan berlaku banjir lumpur yang teruk di kawasan tanah tinggi itu.

Katanya, tindakan sewajarnya perlu diambil terhadap pihak yang terlibat.

"Saya harap SPRM akan meneruskan dan mempercepatkan siasatan sebab dalam berita dan akhbar-akhbar (mengatakan adanya perlindungan) daripada ahli politik yang semua menumpu kepada menteri besar.
"Kita (kerajaan negeri) tidak pernah mencampuri undang-undang, sesiapa pun daripada menteri besar sampailah ke bawah," kata Adnan.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis perasmian Wisma Kastam Sultan Ahmad Shah yang disempurnakan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah di Bandar Indera Mahkota di sini.
Adnan berkata pihak kerajaan negeri melalui Majlis Daerah, Pejabat Tanah dan Galian serta Jabatan Perhutanan tidak mempunyai kakitangan mencukupi selain tidak mempunyai peruntukan kewangan untuk menangani apa saja permasalahan yang berlaku di kawasan tanah tinggi itu.

"Bukan senang bagi agensi penguatkuasa yang kecil bilangan kakitangannya untuk mengambil tindakan, bukan itu sahaja, mereka ini berhadapan dengan pelbagai ugutan termasuk ugutan bunuh.

"Justeru, kerajaan persekutuan akan mengambil usaha untuk menjalankan operasi yang difikirkan wajar dan kerajaan negeri akan memberikan sokongan penuh," katanya.

Semalam, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Mustafar Ali berkata pihaknya ada menerima laporan dan maklumat berkaitan dakwaan wujudnya jenayah rasuah di sebalik isu penerokaan haram tersebut.