Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis Datuk Hamdan Bahari mengesahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang Datuk Ismail Kassim tidak akan menghadiri sesi sidang DUN kali ini.

Beliau berkata Ismail yang tiba di tanah air baru-baru ini dari Indonesia susulan terkandas di sana, perlu menjalani kuarantin di ibu negara ketika ini.

"Saya telah menerima surat pemakluman daripada beliau (Ismail) tidak dapat hadir ke sesi sidang DUN kali ini atas faktor sedang menjalani kuarantin wajib," katanya kepada Bernama selepas majlis istiadat Perasmian Penggal Persidangan Ketiga Dan Mesyuarat Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis Ke-14 di Kompleks DUN Perlis hari ini.

Perasmian disempurnakan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Berangkat sama pada sidang tersebut ialah Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Sementara itu, Hamdan berkata tiga ADUN iaitu ADUN Sanglang Mohd Shukri Ramli, ADUN Guar Sanji Mohd Ridzuan Hashim dan ADUN Simpang Empat Nurulhisham Yaakob telah disahkan negatif COVID-19 selepas menjalani 'Swab Test' COVID-19 (Rapid Test Kit-RTK) semalam dan dibenarkan hadir hari ini.

Semalam Bernama melaporkan ketiga-tiga ADUN tersebut diarah menjalani ujian saringan COViD-19 kerana mereka adalah ADUN berhampiran dengan kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (TEMCO).

Sehingga semalam, Perlis mencatatkan jumlah kumulatif 30 kes positif COVID-19 dengan 11 daripadanya merupakan jangkitan daripada Kluster Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Sivagangga yang bermula di Napoh, Kubang Pasu di Kedah.

-- BERNAMA