Sebanyak 25,000 pengunjung dijangka akan memeriahkan program Anugerah Seni Bina Masjid Abdullatif Alfozan (AFAMA) dan Persidangan Antarabangsa Seni Bina Masjid (ICMA) 2019.

Setiausaha Agung AFAMA, Prof. Mashary Abdullah Al Naim berkata, jumlah tersebut meliputi kira-kira 250 peserta dari 12 negara yang mengambil bahagian dalam persidangan itu.

Katanya, persidangan berkenaan akan berlangsung bermula 25 hingga 27 November manakala pameran Anugerah Seni Bina Masjid Abdullatif Alfozan (AFAMA) pula akan diadakan selama lebih dua bulan dan akan berakhir pada 31 Januari 2020.

“Buat julung kalinya, Malaysia terpilih untuk menganjurkan sebuah majlis anugerah peringkat antarabangsa yang bertempat di Muzium Kesenian Islam Malaysia, di sini.

“Program ini merupakan anjuran kali kedua dengan kerjasama antara, ATSA Architects Sdn. Bhd. (ATSA) dan Kulliyyah of Architecture and Enviromental Design (KAED), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM),” katanya selepas majlis Perasmian Bengkel Masjid Rahmah Malaysia di sini pada Rabu.

Yang turut hadir Pengarah Bahagian Dakwah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Aziz Mohamad.

Mengulas lanjut, Mashary berkata, bengkel berkenaan bertujuan untuk berkongsi pengalaman dalam hal ehwal tadbir urus, pengimarahan, fasiliti dan seni bina masjid di Malaysia.

“Bengkel dengan kerjasama JAKIM adalah untuk mencari jalan penyelesaian terbaik dalam membina masjid hijau dan mesra alam, bertukar kepakaran dalam bidang pengurusan, seni bina serta membina perkongsian pintar dan kerjasama antara semua pihak,” ujarnya.