Polis Malaysia dan Singapura menahan 34 orang disyaki terlibat dalam 'African Scam' dengan nilai kerugian RM21.6 juta di Singapura dan lima lagi negeri di negara ini.

Kesemua mereka ditahan di sekitar Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Melaka, Sarawak dan Singapura sejak Isnin sehingga Jumaat lepas dalam operasi dengan kerjasama polis Singapura.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata 34 orang yang ditahan itu merupakan 13 lelaki warga Afrika, 13 wanita tempatan, tujuh wanita warga Singapura serta seorang wanita Indonesia berumur lingkungan 22 tahun hingga 67 tahun.

Acryl Sani berkata kesemua lelaki warga Afrika itu masuk ke Malaysia sebagai pelajar kolej swasta tempatan dan yang wanita tempatan pula adalah pemilik akaun bank dan berperanan menyamar sebagai pihak berkuasa bagi menipu mangsa.

Beliau berkata modus operasi sindiket didalangi warga Afrika dengan berkenalan dengan mangsa melalui laman media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter serta WeChat, katanya pada sidang akhbar di sini.

Acryl Sani berkata polis turut merampas tujuh buah kereta, 47 telefon bimbit, 36 kad ATM, 17 komputer riba, dua rantai emas bernilai RM7,700 dan wang tunai milik mangsa dalam akaun RM135,000.

Beliau berkata kes-kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA). -- BERNAMA